Tuesday, February 9, 2010

Takziah Dan Tahniah YB Nizar

Hari ni kita dapat melihat sekali lagi Mahkamah Dunia membuat keputusan. Keputusan yang cukup menggambarkan Mahkamah Dunia boleh digugat dengan apa saja cara. Sewaktu YB Nizar diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai MB Perak yang sah hari tu, dengan pantas dibuat rayuan dan akhirnya dengan mudah sekali prosesnya untuk Zambry diberi kuasa kembali.
Akhirnya, setelah penat berusaha, seluruh rakyat hari ni dapat menyaksikan percaturan politik yang licik ini.

Namun, ana nak respon tentang isu ini berkaitan dengan usaha PR dan YB Nizar yang TAK PERNAH BERHENTI. Walaupun secara zahirnya Mahkamah kata Zambry menang, ana melihat beliau hanya menang jawatan tu saja. Beliau tak berjaya memenangi hati rakyat khususnya rakyat Perak. Perak bertukar kerajaan kerana 3 ADUN yang telah jatuh moralnya. Mereka dipilih rakyat untuk pertahankan kerajaan PR. Namun, sanggup mereka isytihar bebas tapi sokong BN. Setelah lama menyepi, tiba-tiba muncul dengan mengisytiharkan mereka ADUN Bebas.

Kenapa tak letak jawatan dan adakan pilihan raya kecil untuk rakyat pilih semula pilihan mereka? Mereka dah tak layak pegang jawatan itu sebab telah khianati kepercayaan rakyat. Rakyat undi mereka untuk wakili rakyat melalui wadah PR. Tiba-tiba senang-senang dia isytihar bebas? Tak malu betul manusia jenis ni. Dah tak mau bersama PR lagi, letak jawatan sudahlah.

Inilah antara sebab mengapa USAHA INI TAKKAN BERHENTI. Selagi ada cara, mesti usaha jugak. Jangan berputus asa. Pejuang tak boleh putus asa.

"Once you learn to quit, it's became a habit" - Sekali kita belajar untuk berputus asa, ia akan lekat sebagai tabiat.

MasyaAllah. Kita minta jauh daripada penyakit putus asa. Jangan putus asa dalam perjuangan Islam. Kita bantulah perjuangan Islam dengan kadar kemampuan yang ada pada diri kita.

Jika kita kaya, kita sumbang banyak-banyak untuk mudahkan perjuangan Islam.

Jika kita gagah perkasa, kita sumbang tenaga.

Jika kita ada kuasa, manfaatkan kuasa yang ada untuk tegakkan Islam dengan penuh strategi. Berjuang mesti ada strategi. Kerana kebenaran yang tidak berperancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yang berperancangan. So, kena ada planning. Kena ada taqwim.

Apa pun,
Takziah buat YB Nizar kerana tidak berjaya mendapatkan kembali kerusi MB Perak.

Tahniah buat YB Nizar kerana Allah telah mengangkat kemuliaannya melalui isu ini. Secara zahirnya kita tengok beliau hina kerana kalah, tapi pada hakikatnya kita melihat, hikmah isu ini sangat banyak. Rakyat menjadi semakin matang menilai isu. Menilai percaturan politik kedua-dua belah pihak. Satu yang perjuangkan kebenaran. Satu pihak lagi tak habis-habis dengan sekularisme dan kebangsaan.

InsyaAllah, kebenaran pasti menang. Kebatilan pasti jatuh. Cuma cepat atau lambat je yang kita tak tahu. Allah punya perancangan Maha Hebat. Terserahlah kepadaNYA.

Wallahu a'lam.

Monday, February 8, 2010

JANGAN IKUT RAPAT!!!

Salam Islah dan selamat berjuang,

Ana nak kongsi sedikit pengalaman pertama drive kereta sorang2 Ahad yang lalu. Jam 11.37 pagi ana bertolak dari rumah yang dikasihi di Kampung Dangar. Kira-kira jam 7.37 malam selamat sampai di Surau Nurul Iman, IPG Kampus Perlis. Alhamdulillah sempat solat Maghrib berjemaah walau sempat rakaat ketiga saja. Yang penting kita usaha nak berjemaah.

JANGAN IKUT RAPAT!!

Kenapa?

Ana sebenarnya hampir2 mengulangi kemalangan pada 6/6/2009 yang lalu. Namun alhamdulillah Allah masih panjangkan umur. Semasa di Gurun, hujan begitu lebat sekali. Lama dah tak hujan. Ana cukup insafi kemalangan yang lalu yang walaupun sedikit, tapi sedikit sebanyak menyusahkan keluarga ana tertama ayahanda yang terpaksa tanggung. Kos sebuah kemalangan : RM 850 lebih kurang. RM 300 bayar saman sebab orang yang langgar memang akan dipersalahkan. dan baki lagi bayaran repair kereta. Lampu dan bonet depan. Kalau ana ada duit masa tu, ana tak mau ayah yang bayar. Ana nak bayar semua. Namun terpaksa ayah bayar juga. Tu yang ana tak berapa sedap.

Janganlah ikut rapat semasa memandu. Dalam kehujanan ahad yang lalu, alhamdulillah ana memang tak suka ikut belakang kereta lain terlalu rapat. Takut tak sempat brek seperti kemalangan yang lalu. Dan alhamdulillah kesedaran yang hadir itu menyebabkan ana terselamat Ahad yang lalu dengan izin Allah. Sebuah kereta kat depan tiba-tiba brek dan bagi signal ke sebelah kiri nak masuk lorong. Ana yang agak laju juga masa tu serta merta brek mengejut menyebabkan tayar terseret hampir semeter sebelum ana dapat elakkan kereta ke kanan.

Masyallah. Ana mengucap panjang. Mujurnya. Alhamdulillah. Panjang lagi umur. Kalau tak, tak tau jadi apa lepas tu. Nasib baik tak ikut rapat. Kalau tak memang tak sempat brek. Selepas tu ana memang berhati-hati. Jadi lebih berhemah serta merta. =)

Apa pun, sayangilah nyawa kita. Semoga panjang umur dalam kebajikan. Mati dalam iman. Hidup sebagai orang beriman.

Hayati Tazkirah Jalan Raya Yang Ada Di Merata-rata.

Hati-Hati Di Jalan Raya...

Anda Mampu Mengubahnya..

Ingatlah Orang Tersayang.

Saturday, February 6, 2010

Pekalah Terhadap Isu Semasa

Salam perjuangan buat pembaca tercinta,

Bila ana baca akhbar tadi, isu semasa paling panas ketika ini ialah perbicaraan terhadap Datuk Seri Anwar. Minggu ni, Minggu Saiful bercerita. Mu ceritalah sesuka hatimu. Akan sampai masa nanti Peguam Datuk Seri Anwar pula bersuara. Karpal Singh n da geng. Ana rasa kena belit habis-habisan kawan ni. Ana sebetulnya masih menilai isu ini. Namun dari kejauhan, ana dapat rasakan siapa yang benar dan siapa yang batil. Sekarang ni setiap hari DSAI begitu masyhur kerana terpampang wajahnya di muka depan akhbar setiap hari. Dan juga masyhur ialah Saiful Bukhari yang telah bersumpah di atas Masjid untuk 'menegakkan haknya.' Dua-dua tenang. Yang kena tuduh (DSAI) pun tenang dan Penuduh (Saiful) pun dilihat tenang 'bercerita'. Akhir babak nanti kita akan dapat saksikan siapa yang salah. Mudah-mudahan Allah tunjuk kita akan kebenaran dan hakikat sebenar.

Namun, ana nak mengajak kita supaya jadi orang CERDIK dalam menilai isu. Jangan cepat melatah dan menghukum. Kaji dulu. Jangan cepat kata itu dan ini. Takut kita salah kata. Jadi fitnah. Na'uzubillah.

Nak tak nak, mesti kena peka. Kerana seorang da'ie kena sentiasa 'update'. Pendekatan dakwah kita tetap tapi mesti anjal. (Murunah wa Tsabit). Menghadapi pelbagai kerenah dan situasi menuntut kita menjadi PENILAI yang matang.

Dan ana ternanti-nanti keputusan mahkamah untuk menentukan siapa MB yang sah di negeri Perak. Zambry @ Nizar? Isu dan fenomena Nizar memang menarik. Semalam genap setahun Zambry pimpin Perak. Nizar kurang sebulan daripada Zambry. Sempat jadi MB sebelas bulan. Ana doakan perjuangan beliau diberkati. Ana ada kenangan bersamanya. Sewaktu balik cuti hari tu, iaitu beberapa hari sebelum beliau diambil alih haknya sebagai MB pilihan rakyat, sempat berbual sekejap bersama beliau di Hentian Perah, Gerik semasa perjalanan balik ke Kelantan. Rezeki ana dan Qalbi dapat bergambar bersamanya. Tenang sekali wajahnya. Penuh dengan nur. Pertemuan pertama kali dirasakan seperti dah lama jumpa. Sebelum berpisah, beliau berpesan,

"Min, Bi, belajar molek deh. Jangan bawa kereta laju-laju. Biar lambat sikit, asalkan selamat"

Kemudian, beliau terus beredar bersama pembantunya dengan CAMRY bernombor AGS 10 yang entah ke mana dijual sekarang. Semoga Allah muliakan mereka di jalan yang benar.

Isu kalimah Allah..
Isu enjin jet hilang.
Isu kegawatan ekonomi.

Dan banyak isu. Cubalah untuk tahu walau sedikit. Sebab ia adalah rencam kehidupan. Semoga Allah tunjuk kepada kita kebenaran setiap isu.

Wallahu a'lam.

Friday, February 5, 2010

Balik Kampung

Alhamdulillah dengan izin Allah, sekali lagi ana dapat balik kampung. Kampung Dangar, Pasir Mas, Kelantan Tanah Serendah Sekebun Bunga. Minggu lepas ana dapat balik dah. Dapat jumpa umi kejap pagi jumaat tu. Ana balik minggu lepas sebab mengiringi jenazah Ustaz Mohd Yusof Alias ke Melor Kelantan.

Alhamdulillah dapat juga bantu sedikit pengurusan jenazah Ustaz Mohd Yusof hingga ke pengebumian. Masa kami sampai dalam pukul 10 malam, jenazah telah selesai disolatkan dan sedang dikebumi di tanah perkuburan bersebelahan masjid. Sebaik sampai, ana terus ke tempat pengebumian. Ana teringat pesanan ustaz, kita p tempat pengebumian, menyumbanglah walau hanya dengan melempar segenggam tanah ke dalam kubur yang sedang dikambus. Lalu ana pecat kasut dan terus ambil tanah dan masukkan ke dalam lubang yang baru suku terkambus.

Alhamdulillah, akhirnya dapat disempurnakan dengan bantuan rakan-rakan dan sanak saudara serta penduduk kampung.

Seorang pak cik bertanya ana, 'mari mmano blako ni?' lalu ana jawab, "anak murid ustaz blako ni. mai dari maktab perlih so bah" Lalu beliau menjawab, "oo...meh2 pakat tulung. khidmat ko tok guru". Bila dengar gitu makin semangat ana buat kerja. biar baju dan seluar kotor sikit sebab kena tanah. Betul kata pak cik tu. Jasa guru sangat besar. Janganlah berkira nak bantu mudahkan urusan guru. Termasuklah pesanan pak cik tadi. Khidmat kita kepada guru kena buat sungguh-sungguh. Selagi mampu dan tak melanggar syarak. Dan menjaga batas.

Habis kambus, kami terus solat jenazah di sisi kubur. Depa suh ana jadi imam. Kali pertama ana jadi imam solat jenazah. Sebelum ni suka duk belakang imam. Alhamdulillah ada kekuatan sikit untuk mengetuainya. Nasib baik ana mampu bertenang masa tu. Bimbang juga tiba-tiba sebak. Ana teringat seorang Tok Guru Quran yang mengajar ana Quran sejak kecil. Abe Zin. Beliau sering menjadi imam solat jenazah di merata tempat. Namun satu hari, ibu beliau sendiri yang terbujur kaku di hadapan. Setelah selesai dimandikan, semua dipanggil buat saf untuk solat jenazah. Beliau tampil ke depan. Lama beliau termenung perhatikan arwah ibu yang telah pergi, beliau tak mampu menahan sebak lalu menarik orang lain untuk imami solat jenazah ibu beliau. Sayu hati ana melihatnya. Ana dapat rasakan betapa sukarnya beliau menahan sebak melihat seorang ibu yang dikasihi sudah tiada lagi dan akhirnya beliau terpaksa menyerahkan kepada orang lain untuk menjadi imam kerana bimbang tak mampu memimpin solat jenazah dengan baik.

Alhamdulillah ana dapat imami solat jenazah hingga selesai semuanya. Moga Allah cucuri rahmat atas arwah.

Pukul 3.30 tadi, alhamdulillah selamat sampai rumah. Terima kasih abe Arif kerana bagi tumpang ana balik. Dapat jumpa umi dan ayah. Biarpun sekejap, namun, nilai PERTEMUAN dengan umi dan ayah cukup mahal. Dapat bermalam di rumah sekejap cukup menyegarkan tubuh dan release tension dan tekanan kerja yang tak putus-putus.

Semoga dapat kembali lagi.

Thursday, February 4, 2010

Doakan Mereka

Setiap kali teringat umi dan ayah di kampung, ana terlintas macam-macam. Sekarang ni tinggal adikku yang bongsu, darjah 6 (Siti Khadijah) dan dan kedua bongsu, form 3 (Siti Aisyah)- Cah. Tanpa mereka, sunyilah umi dan ayah di rumah. Gelak ketawa, kadang-kadang menangis, berbalah dan macam-macam. Merekalah yang menyerikan suasana keluarga.

Kami lapan beradik semuanya. 6 perempuan. 2 lelaki. 4 di atas ana dah berkeluarga dan bekerja. Kak yang sulung di KL. Juga abangku, anak ketiga. Di KL juga. Kak Mah di Lemal, Pasir Mas. Hajar nun jauh di negeri kelahiran PM sekarang. Felda Jengka 6, Pahang. Ana di Perlis. Sarah di UTM Skudai Johor.

Teringat umi dan ayah, ana teringat akan pesanan seorang ustaz, berbaktilah kepada umi dan ayah sama ada mereka masih ada mahupun telah tiada. Setiap kali teringat mereka, terus berdoa untuk kesejahteraan mereka. Doakan kesihatan mereka. Doakan mereka sentiasa diberi kekuatan untuk tambah amal ibadat. Jika masih ada, jangan lupa call mereka sekerap mungkin. Tanya khabar yang kita ungkapkan sangat mengubat rindu mereka kepada anak-anak di perantauan.

Ayah ana sering menitipkan pesanan untuk anak-anak. "Jangan tinggal solat. Anak yang tinggal solat adalah anak yang tak sayangkan umi dan ayah. " Sebab tak dengar nasihat ayah. Dulu ana juga sangat liat solat. Lebih-lebih lagi masa tu tengah tengok cerita best kat TV. Alamak, berat sekali sih nak bangun. Banyak kali juga kena rotan. Kat Falahiah dulu pun pernah kena rotan. Kenangan manis kena rotan memang membuat ana senyum sendirian bila mengimbas kembali.

Anyway, marilah kita muhasabah. Walau seburuk mana pun mereka, semiskin mana pun mereka, seteruk mana pun keadaan mereka, mereka tetap IBU dan AYAH kita. Ibu melahirkan kita. Ayah bertungkus lumus cari nafkah. Mereka usaha dengan apa saja cara demi anak-anak. Pastikan semua cukup makan. Tak kebuluran. Begitu juga dengan pendidikan. Setiap kali nak tinggalkan rumah dari dulu hingga sekarang, umi ana akan pesan "Belajar molek deh". Ungkapan penuh keramat. Yang terkandung padanya doa. Doa seorang ibu sangat makbul. Mustajab. Bila umi ana kata gitu, ana akan balas, "Doa2 kokre getek deh". Lalu umi jawab, "Umi tiap-tiap hari doa".

Masyallah. Semoga Allah ampuni Umi dan Ayah.
Jasamu tak mampu kubalas.
Tak mampu kuhitung.
Tak mampu dibayar.
Tak mampu kuganti dengan emas dan intan.

Dari kejauhan, kudoakan. Semoga Allah merahmatimu.

"Rabbighfir li waliwaa lidayya warhamhu maa kama rabbayaani soghiira"...

Wednesday, February 3, 2010

Akal Yang Sihat Daripada Tubuh Yang Sihat

Kita kena usaha untuk sihat. Kerana badan yang sihat membolehkan kita melakukan kerja dengan penuh kualiti. Boleh berkhidmat untuk Islam dengan khidmat paling maksima. Membantu perjuangan Islam dengan penuh azam dan tekad.

Justeru, bagaimana kita memastikan sentiasa sihat?

Berpesan ustaz ana, "Ubat yang paling mujarab ialah berpantang". Ana berfikir lama bila keluar ungkapan ini dari bibirnya yang banyak mengungkap zikir dan ilmu.

Lama-kelamaan ana mula faham. Memang berpantang suatu ubat yang mujarab. Ramai orang sakit akan ada pantangnya. Mesti berpantang. Ana ada penyakit lelah (asma). Sejak kecil ana asma. Dalam keluarga, ana dan kakak sulung (Kak Afiq) saje yang ada asma. Kata umi, mungkin 'menurun' daripada arwah atuk yang juga mengidap asma. Umi dan ayah ana tak mengidap asma. Sampai sekarang ana masih tak sembuh asma. Perkara paling pantang bagi orang asma ialah ais dan air sejuk. Tapi ana memang susah nak kawal diri. Memang ana jaga untuk tidak minum ais. Tapi, kadang-kadang terminum juga. Dah xda air lain dah masa tu. Dahaga sangat2. So, ana pun minum tea o ais dengan senang hati.

Namun, ia memang beri kesan. Asma ana kembali. Sangat tak selesa bernafas. Malam tadi ana terpaksa absent mesyuarat JPP dan serahkan kepada Bob untuk pimpin mesyuarat. Sebab agenda besar mesyuarat malam tadi adalah Kejohanan Olahraga Tahunan (KOT) yang akan berlangsung pada 4 Mac 2010. Ana tak sempat masuk meeting. Sebab balik dalam 10.30 malam dari klinik di Kangar. Alhamdulillah. Rasa lega sikit. Doktor bagi ubat penat dan inhaler baru. Lama dah ana tak pekena inhaler. Nampaknya terpaksa stand by la. Jika tidak, terjejas ana punya tugas yang tak pernah habis.

Dan alhamdulillah ana dapat maklumat satu produk HPA yang boleh bantu ana selesaikan masalah asma ini. Pak Cik Din Bekam yang bagitau masa bekam sahabat ana, Qalbi malam tadi. Pukul 2 pagi habis bekam. Masyallah. Hebat khidmat beliau untuk hidupkan sunnah Nabi. InsyaAllah ana akan cuba. Ana akan usaha dengan apa saja cara untuk selesaikan maslah ini. Ana nak sihat sokmo. InsyaAllah.

Apa pun, apa yang penting, kita mesti usaha dan cari jalan untuk jaga kesihatan. Kerana akan meningkatkan lagi kualiti kerja dan produktiviti untuk perjuangan Islam. Ana tak mau menyusahkan orang lain disebabkan masalah kesihatan yang dihidapi.

Semoga Allah beri kita sihat FIZIKAL dan ROHANI. Kerja kuat. Ibadat pun kuat. MasyaAllah. Ni baru ada life. Kita akan kecap hidup dengan penuh nikmat. Bahagia dunia dan bersambung ke akhirat. InsyaAllah...

Tuesday, February 2, 2010

Bersabarlah meredah hidup

Hari ini ana berasa cukup lemah sekali. Tubuh berasa tidak bermaya. Saat menulis post ini, ana berada di Uncle Tams Cafe. Baru sudah makan nasi. Nak cari tenaga sikit untuk teruskan tugasan harian dengan lebih berkualiti. Wireless nya laju bangat sih. Alhamdulillah. Terima Kasih Uncle Tam.

Cuma yang ana ingin kongsi dengan sidang pembaca sekalian, betapa hidup tetap kita kena teruskan. Walau apa saja masalah yang kita sedang fikirkan, kita tetap bertanggungjawab untuk sempurnakan kehidupan kita dengan amal soleh. Kita mesti redah hidup ini dengan amal soleh. Tak kira pada kedudukan mana kita. Sama ada kita sebagai orang atasan mahupun orang bawahan. Ana kadang-kadang tension dengan kerenah anak-anak buah dalam JPP. Banyak ragamnya. Namun, alhamdulillah, Allah masih beri kekuatan untuk ana kemudi kapal besar ini dengan tenang. Segala masalah dan cabaran yang menimpa ana sentiasa fikir dan ubah kepada persepsi positif. Ana usaha untuk kurangkan marah-marah. Marah pada tempat tertentu saja. Tapi, ana lebih suka dengan pendekatan berbaik-baik. Rapatkan ukhuwah antara rakan seorganisasi. Ana doakan semoga semua pimpinan JPP sentiasa ceria dan gembira dengan tugasnya. Walau sesibuk mana pun mereka, senyuman sentiasa terukir saat bertemu dan bermesyuarat. Kerana senyuman itulah yang menyegarkan tubuh. Menyegarkan jiwa yang sedang kusut.

Besar mana pun cabaran hidup, ana akan anggap orang lain lebih susah daripada ana. Jika orang lain mampu hadapi, kenapa ana tak boleh? Yang penting bekal SABAR sentiasa dibawa ke mana-mana.

Kena marah?

Ana selalu kena marah. Oleh banyak jenis manusia. Sama ada marah itu bertempat ataupun tak bertempat. Alhamdulillah ana mampu 'menyerap' tekanan. Kepada yang marah kerana ana salah, ana ucapkan terima kasih sangat-sangat. Kepada yang marah tak bertempat, ghafarallahu lana. Semoga Allah ampunkan anda dan ana. Kadang-kadang kita salah faham. Ramai manusia memusuhi perkara yang tak difahaminya. Lalu tak pasal-pasal kena marah. Tak pe lah. Ana tak kisah. Itulah warna kehidupan. Semoga Allah beri pahala bagi mereka yang tinggi sabarnya.

Wallahu a'lam.